Di sini Portal Pembelajaran IPGM bermula!

Semasa minggu pertama cuti semester 1, tahun akademik 2011, setiap IPGK diminta menghantar seorang pensyarah akademik dari Jabatan Teknologi Pendidikan untuk menghadiri mesyuarat pelaksanaan Portal Pembelajaran IPGM, di IPGK Pendidikan Islam, Bangi. Para hadirin dimaklumkan bahawa En. Nik Ibrahim bin Nik Mat telah membangunkan sebuah portal pembelajaran yang menggunakan ATutor.  Portal yang berbentuk LMS (Learning Management System) yang bertujuan mewujudkan sebuah komuniti pembelajaran sosial bagi pelajar Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan 11 Jun 2011 di kesemua 27 buah IPGK.

Ini merupakan sebuah eksperimen kerana sebelum ini, kebanyakan pensyarah menggunakan Moodle untuk membangunkan LMS. Bahan-bahan (modul) disediakan pada muka depan Portal Pembelajaran di mana pengguna Portal tidak perlu login untuk akses kepada bahan tersebut.


Portal tersebut pada mulanya bertujuan menyediakan sebuah platform untuk pembelajaran secara sosial melalui forum antara pensyarah-pelajar dan pelajar-pelajar untuk berkongsi maklumat, idea dan memperolehi sokongan moral. Pensyarah yang hadir diberikan status "Adminuser" yang memainkan peranan untuk mengumumkan dan menggalakkan pendaftaran semua pelajar dan pensyarah PPG, memastikan ID masing-masing mematuhi format yang ditetapkan dan memantau perjalanan forum bagi membuang hujjah-hujjah yang sensitif. Namun, disebabkan masalah teknikal, kuasa sebagai "Adminuser" ini ditarik balik tanpa memaklumkan pensyarah yang terlibat mengenai penarikbalikan kuasa adminuser tersebut.

Pada 7-9 September 2011, kali ini Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan pula dipanggil untuk menghadir mesyuarat penyelarasan Portal Pembelajaran IPGM di Hotel Empress, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Dalam mesyuarat ini, semua Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan daripada 27 buah IPGK dilantik sebagai "SuperAdmin" dan akan menubuhkan JK Online Learning (OLL) setelah kembali ke IPGK masing-masing. Setiap IPGK perlu menggalakkan semua pensyarah, tidak kira terlibat dalam PPG ataupun tidak untuk daftar ke Portal Pembelajaran ini. IPGM mengharapkan semua pensyarah yang mengajar subjek-subjek PPG akan dapat menyediakan aktiviti pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar IPGM agar penggunaan Portal Pembelajaran ini lebih bermakna dan memenuhi keperluan MQF.

Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan dan wakil yang hadir didedahkan kepada kaedah pengurusan sistem Portal Pembelajaran IPGM dan dimaklumkan bahawa masing-masing perlu explore sendiri bagaimana untuk mentadbirkannya nanti.
Timbalan Rektor, Dr. Lee Boon Hua, yang hadir pada sesi terakhir berharap agar LMS ini mesra pelanggan bagi memudahkan penggunanya menggunakan portal ini seoptima yang mungkin.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu pelaksanaan PPG secara keseluruhan yang masih belum dapat diselesaikan. Antaranya ialah struktur program untuk opsyen seperti Kemahiran Hidup, PJK, Muzik, Matematik dan Sains memerlukan lebih banyak waktu amali, sedangkan perancangan struktur program tidak mengambilkira aspek ini. Mudah-mudahan, setelah kajian semula struktur dan pelaksanaan PP dilakukan nanti, isu-isu yang mendesak dapat ditangani.

Pada peringkat IPG Kampus Tun Hussein Onn pula, Penyelaras Portal IPGM ialah En. Omar bin Zakaria dan dibantu oleh Cik Sumitra Kan F.K. dari Jabatan Teknologi Pendidikan. Sekiranya anda menghadapi masalah menggunakan Portal IPGM ini anda boleh membuat pertanyaan melalui telefon rasmi IPGKTHO dengan nombor sambangan -121 ataupun menggunakan blog ini sebagai saluran pernyataan masalah ataupun komen.



No comments:

Post a Comment